Tuesday 10 June 2008

NAJIB MAHU JOMMAKAN DIPERLUAS DI SELURUH DUNIA

Dari Berita Harian Online 11 Jun, 2008 LONDON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu JomMakan Restaurant, yang menyajikan masakan Malaysia berkonsepkan layanan segera di sini, diperluaskan ke seluruh dunia kerana ia berpotensi untuk meraih keuntungan serta meletakkan nama Malaysia di peta dunia. “Saya fikir konsep ini amat sesuai diperluaskan ke negara lain di seluruh dunia kerana ia berpotensi untuk meraih bukan saja keuntungan tetapi dapat meletakkan Malaysia di peta dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan JomMakan Restaurant di Pall Mall East di sini semalam. JomMakan Restaurant di London kendalian JomMalaysia (UK) Limited menawarkan pelbagai jenis masakan popular Malaysia, termasuk laksa asam, nasi goreng dan mi serta teh tarik. JomMakan Restaurant adalah restoran “prototype” layanan segera menerusi program MalaysiaKitchen. Program MalaysiaKitchen adalah inisiatif nasional oleh kerajaan yang bertujuan meletakkan hasil pengeluaran pertanian dan produk berasaskan pertanian Malaysia pada kedudukan strategik menerusi rangkaian restoran dan premis peruncitan di luar negara. Najib berkata, pembukaan restoran itu akan membolehkan orang luar mengenali Malaysia dengan lebih dekat dan secara tidak langsung menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Beliau difahamkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) akan membuka cawangan restoran itu di Amerika Syarikat dan Australia pada masa depan. Najib berkata, beliau yakin masakan Malaysia akan mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh dunia. “Tidak terlambat bagi Malaysia untuk mempromosikan negara melalui masakannya,” katanya. Najib berkata pengusaha restoran yang berminat untuk membuka restoran masakan Malaysia di luar negara berpeluang mendapat pinjaman daripada Exim Bank dengan kadar faedah yang rendah. Diminta mengulas mengenai masakan yang dihidangkan di JomMakan Restaurant di London itu, Najib berkata walaupun restoran itu berkonsepkan layanan segera tetapi masakan yang dihidangkan sedap dan bermutu. Beliau juga yakin restoran yang baru dirasmikannya itu mempunyai potensi yang baik pada masa depan. - Bernama

No comments:

Post a Comment