Wednesday 27 June 2012

ANTOLOGI CERPEN

SELENDANG SANGGUL ARCA  

KABUS pagi dikejutkan hon pikap Utuh. Sepagi pukul 6 embun pagi yang terakhir disambar matahari. Beberapa ekor sapi masih berteleku dijalan, bingkas diteriaki hon pikap. Sambil berludah dari jendela, Utuh mengelak najis dan merungut sapi bau hancing.

Aku yang terbiasa bau-bauan desa itu sejak tiga tahun lalu hanya memuncung bibirnya sambil menahan nafas. Tetapi, haruman pagi yang bercampur baur itu kutarik sedikit hingga pangkal rongga, barangkali untuk yang terakhir.

Kemalasan sapi pada dingin pagi yang sebati kebasahan embun pada tumbuhan hijau rimbunan pisang, pokok kapuk, belukar senduduk dan terung pipit yang subur berpermaidanikan rumput ilalang dan tembusan arus kecil pada tebing sungai, bakal jadi kenang-kenangan pada ingatan. Semua yang pada mula kumesrai agak kekok pada kehidupan pertama di tanah leluhur ayah tiga tahun lalu, perlahan-lahan berlalu dibawa deru engin pikap.

Sebentar lagi, selepas Utuh menghantar dan sampai di pekan dan mini bas membawa pulang ke Kota Kinabalu, perdesaan ini mungkin suatu kuburan masa silam yang bakal tidak kuziarahi lagi. Betapa yang bernyanyi riang menyambut siang di tanah wangi itu adalah ayah, nenda dan kerabat keluarga.

Walaupun tekad itu seperti membebankan kedosaan pada diri, biarlah, sekali ini aku berambus secara relaku atau tidak, kuingin mengingati seawal ini aku keluar seperti manusia yang tidak memiliki pertalian darah dengan mereka semua. Aku merajuk, siapatah yang peduli? Kerana aku mungkin lahir dan jatuh dari dunia lain di halaman rumah mereka, seperti yang menutupi auratku adalah hanya karung buruk.

Sepagi itu, pelupuk mataku berasakan pedih, dan hidung ku seperti tersumbat dan merah seperti selesema, itu yang buat pertama kali nyeri menusuk jantung ku selepas tiga tahun kurasakan bahagia. Tapi, cukuplah kalau tiga tahun itu aku mengenal kasih sayang mereka, walaupun malapetaka yang menimpa ku pada dua bulan terakhir ini, kuanggap imbalan atas jasa mereka menyediakan tempat tidur dan mengisi nasi dan air untuk mengenyang perutku.

Selepas selekoh terakhir dekat masjid, pikap Utuh berhenti di kawasan pasar di tengah pekan dan kebetulan bas mini berwarna coklet muda hanya menunngu seorang penumpang sebelum bertolak. Utuh memberhentikan pikap di sebelah dan agak perlahan dan teragak-agak mengeluarkan bakul pakaianku untuk muat di belakang kenderaan.
Pemandu itu bercakap sesuatu kepadanya.

 "Sampai disini sahaja dik Utuh. Terima kasih dan kirim salam kepada eyang dan ma," suara ku serak.

Utuh belum berganjak dan memandang mataku.

Aku cuba ketawa tapi, pipi mungil ku yang terangkat menutup bawah kelopak mataku hanya merembeskan air jernih dari celah hujung mata. Aku cepat mengesat dengan hujung baju kurung. Melihat keadaan yang kami, pemandu itu beralih sambil membakar sigup kirainya.

Beberapa saat, kami berdiam, melayan suatu yang menindih dada kami dan walaupun Utuh mengawal perasaannya, tetapi mulut kami terkunci sambil berhadap-hadapan. Selain perbualan peniaga yang membentang alas di kaki lima pasar dan menumpuk hasil laut, udang dan ketam, persekitaran kami dilagakan bunyi pintu papan kedai yang dibuka.

Tapi, akhirnya kami terpaksa menamatkan perasaan yang tertekan tanpa berkata-kata, apabila pemandu bas mini itu mengangkat kepalanya kepada Utuh.

"Baik-Baik jaga diri, kak. Jangan lupa kirim surat," dan menyalami aku.

 "Tinggallah Utuh. Jagalah diri kau baik-baik dan sambung belajar!" pintaku.

Aku mengangkat beg, menunduk kepala dan duduk di kusyen lantas menutup pintu. Bas mini mula mengeram dan meninggalkan sedikit asap. Utuh melambai yang ku balas dengan hanya pandang mata.

Kini, bermula lagi perjalanan kembali ke selatan, ke ibu negeri, tempat kelahiranku. Memang ia suatu perjalanan hilir mudik cinta dan rindu yang sentiasa bergilir dalam selukan batinku. Seperti angin yang menyela antara dedaun, begitulah hatiku. Tetapi, selepas tiga tahun, angin deras dari jendela bas mini seperti berebut mengucup wajahku, menyejukkan dingin manik-manik yang merembes pada hujung mataku.

Seawal pagi ini aku rasa tergamak pulang ke daerah kelahiran dengan kurasakan beribu kawat duri menarik isi dan kulit belakang ku. Nyeri kurasa meninggalkan nenek yang seperti tidak terdaya melindungi aku daripada ancaman kecurangan orang, bukan orang lain, tapi saudaranya dan saudaraku sendiri.

Alangkah indah dalam pelukan daerah leluhur bapa kandung ku ini, selama kira-kira 20 tahun aku tidak pernah melihat wajahnya dan kusangka terus lupus dari pandangan mata sejak aku membesar dan mengetahui bahawa dia menceraikan ibu sewaktu aku berumur lima hari dari kelahiran. Ketika mula-mula pulang, aku seperti mahu mengubat rindu yang belum hilang itu, sama ada ibu atau ayah sendiri yang mereka ikrarkan sebagai hanya hubungan saudara.

Walaupun kemudian kedewasaanku ini mengembalikan aku untuk mencapai kasih sayang orang tua, tapi rupa-rupanya yang lebih berharap pertemuan ini adalah nenek belah bapa. Memang suatu yang mengujakan nenek. Mendengar perkhabaran daripada pakcik Jalin bahawa cucunya yang dia rindu sekian lama bakal menghuni daerah leluhurnya.

Permulaannya memang agak mengejutkan apabila permohonan untuk mengajar sebagai guru sandaran diluluskan di sekolah rendah di Kota Belud, kebetulan berhampiran kampung nenek. Selepas hampir dua tahun menganggur setelah tamat Malaysian Certificate Education (MCE) kelas tiga, aku membawakan berita itu kepada ibu meminta bantuan nenda untuk mencari Pakcik Jalin, abang kepada ayah, supaya mengkhabarkan pemergian ku di sana.

Nenda yang membuka warung di pasar malam dan berhampir perhentian bas penumpang ke Kota Belud lantas manyuruh orangnya menyampaikan pesanan. Tidak lama selepas pakcik Jalin tururn ke Kota Kinabalu dan kami berbincang untuk hari yang ditetapkan berangkat ke sana.

Memang membahagiakan aku. Tidak bosan aku menyatakannya. Perjalanan pertama ke utara yang memberikan bekas mual dan muntah di sepanjang 68 selekoh ke sana, menjadi suatu perjalanan yang mahal. Setelah terbiasa, menjadi perjalanan indah dari jendela kenderaan.

Pertama kali menghadapi nenek, aku diratapnya, menumpahkan semua kesakitan lahir batin kerana menunggu kepulangan ku 20 tahun lalu. Walaupun nenek pernah bertemu aku di pasar Jesselton, nama ibu negeri sebelum merdeka, dan pernah mengangkat ku yang baru berumur beberapa bulan di matanya kerana pilu perbuatan ayah meninggalkan kami. Dan atas kesukaran ke Jesselton, daerah asing baginya, membuat nenek berputus asa dan lebih baik janganlah bertemu. Bertemu sekejap dan pulang ke daerahnya yang jauh, hanya menyiksa mata batinnya yang turut dicalar perbuatan bapa. Sementara Pak Cik Jalin berkahwin di kampung, maka tiada siapa yang menemaninya untuk kali kedua bertemu kami.

Pertemuan pertama kali itupun adalah atas bantuan Pakcik Jalin yang mengenal saudara mara ibu.

Sejak pulang dari Jesselton, bermulalah hubungan dingin antara nenek dan ayah yang tinggal jauh dikampung lain bersama isterinya, ibu tiriku. Tetapi, kerana kepulangan ku ini, Pakcik Jalin mengesyorkan aku tinggal bersama bapa supaya nenek kembali menerimanya semula. Mungkin aku ibarat angin yang menghalau mendung, menjadikan hubungan dingin itu mencair di hati nenek.

Selama tiga tahun aku berulang-alik dari selatan dan utara, mengajar di sekolah rendah dan dua kali sebulan menghadiri kursus di Maktab Perguruan Gaya untuk memantapkan kemahiran mengajar, tidak pernah kurasa janggal bersama mereka. Sementara bapa tiri tidak berjauh hati, aku tetap menjadi kesayangannya bersama ibu dalam rumahtangga yang mereka bina bermula umur ku mencecah lima tahun. Dan adik tiri belah ibu ku tetap menganggap aku sebagai kakak mereka yang turut ada tanggungjawab di daerah lain, juga memiliki adik tiri belah ayah.

Tapi, awan mendung yang kuhalau itu, kembali menyelungi kententeraman kami di Kota Belud. Ia bermula daripada keluarga eyang ku yang pada mulanya meniti dari bibir ke bibir secara senyap. Kemudian, semakin aku diterima oleh keluarga nenek, semakin gelombang fitnah itu meracun hubungan dengan keluarga bapa.

Tuhan...! desisku. Pandangan seorang membungkus aku hingga hampir lemas dan aku menjadi seperti serangga yang bergerak di rumah kebangsawanan itu menjadi intaian cicak. Alangkah pedih hati, apabila berkali-kali adik tiriku meminbta kad pengenalan dan membandingkan dengan nama binti pada kad pengenalan mereka, serta mengocehnya dengan bahasa yang aku tidak faham benar. Sementara abang sulung mereka, Ubung yang terkenal nakal, pemabuk dan kaki pukul itu, menjadi haiwan liar yang mengintai mangsa.

Walaupun umur kami hampir sama kira-kira 20 tahun, sementara aku tua lima bulan, tapi pertumbuhan badan yang tinggi enam kaki dan agak sasa itu menjadikan aku hanya separas bawah bahunya. Menyedari kesan buruk aku hadapi daripada kecurangan mata orang, beberapa kali aku cuba mengungkit masa silam bapa. Tapi, bapa seperti tidak kisah. Atau dia tidak mengetahui intipan orang itu sudah menjadi akar yang menjalar dari tiang rumah hingga ke seluruh penjuru rumahnya.

 "Kami bercerai bukannya ada gaduh. Semuanya berjalan baik hingga kami bercerai," ringkas bapa. Dan walaupun bapa tidak menceritakan sebab mengapa dia tidak pulang selepas berjanji dengan ibu untuk mengambil beras di kampung, tetapi cukuplah kurasa andainya dia mengikis fitnah yang mengelar aku anak haram!

Khuatir desas desus itu sampai di sekolah, kepada tenaga pengajar sekolah dan murid-murid, aku memulakan usaha mencari Pakcik Jalin dan menceritakan perihalku di rumah bapa.

 "Kenapa tidak beri tahu bapa? Siti berterus teranglah pada dia,

"Apalah daya Siti ini, pakcik. Malu Siti ni, malu betul!"

 "Buat masa ini Siti jangan melayan cakap orang. Nanti pakcik bertemu bapa,"

 "Jika boleh baiklah pakcik selesai dengan bapa cepat-cepat. Jangan berita ini sampai kepengetahuan pihak sekolah, malu benar rasanya!"

Tapi yang datang kemukaku kemudian ialah bapa mula menjadi dingin. Apalah yang aku boleh buat, hendak pulang mengadu kepada ibu, khuatir berlaku suatu yang tidak diingini. Mungkin pergaduhan besar dan ungkit mengungkit kisah lalu.

Keesokannya aku ke bilik guru besar dan berbincang jika dia boleh menggunakan pengaruh untuk memindahkan aku ke sekolah rendah di Kota KInabalu atau Putatan.

 "Kenapa tiba-tiba Siti?" Cikgu Kamin mengangkat alis matanya dari kacamata tebal.

 "Ibu kurang sihat dan selalu sakit. Bapapun sudah tua benar," aku berbohong.

 "Kalau berpindah sekolah tu sukar betul sekarang. Terlalu ramai hendak jadi guru sandaran dan semua sekolah penuh dengan guru sandaran sahaja,"

 "Apa yang patut saya buat, cikgu? berhenti sahajalah!"

 "Oh! jangan..jangan. Bukan begitu, jangan cepat merajuk!" Guru besar ketawa panjang. Aku yang cemas turut ketawa.

 "Saya boleh cadangkan perpindahan itu, kita kena siasat di Jabatan Pelajaran. Tapi, kalau Siti mahu saya, boleh tolong masukkan nama Siti memasuki Maktab Perguruan. Ada satu kuota di sini,"

 "Ah! itukan bagus cikgu?"

 "Yalah. Kamu yang mengelabah?" Cikgu Kamin merungut, "Baik Siti. Pengambilan untuk bakal guru ke maktab sedang berjalan sekarang. Jadi, satu kuota dari sekolah ini saya masukkan nama Siti, boleh?"

 "Saya tunggu jawaoannya cikgu,"

 "Baik. Isi borang dan buat semua salinan sijil dan dokumen penting. Surat pengesahan dan prestasi saya sedia kemudian,"

 Selama menanti beberapa bulan yang meresahkan, aku beberapa kali pulang alik ke Putatan dan semua yang menyelebungi ku di kampung bapa, kupendamkan jangan diktehaui atau terlanjur menyebutnya. Dan nenek yang perasaan aku selalu pulang ke Kota Kinabalu, menanya jika aku ada masalah.

Tapi, aku menolak untuk berterus terang dan cuba menghabiskan banyak masa di sekolah hingga petang.

Selepas tiga bulan, aku dipanggil oleh Guru Besar dan suatu yang memang aku tunggu, ada di mejanya, walaupun hari pendaftaran di Maktab Perguruan Gaya berlangsung sebulan dari sekarang. Tapi aku dikehendaki oleh guru besar menyelesaikan beberapa perkara sebelum membawa ke pejabat maktab.

Pulang dari sekolah, aku langsung mendapatkan Uyung dan kami menghabiskan masa berdua malam itu di rumah. Semua keluarga ke hujung kampung, ke rumah sepupu eyang, anaknya berkahwin lusa. Sementara, menyembunyikan kegirangan hati, aku membantu Uyung mengulang kaji pembelajarannya.

Ubung yang datang membawa dua botol oren tidak kami indahkan hinggalah dia menghulur segelas kepadaku dan Uyung. sambil minum, kami melukis sementara Ubung duduk di anjung sambil memerhati kami. Tiba-tiba aku rasa pening, berpinar-pinar dan kedinginan mula menjalar dari tapak kaki naik urat sarafku.

 "Ubung! apa minuman yang kau beri kakak ni?"

"Kenapa kak?" tanya Uyung cemas.

 "Tolong kakak Yung...jangan lepaskan kakak!"

Tiba-tiba aku rasa seluruh tubuhku tidak lagi berpijak di mana-mana. Ubung menutup pintu dan mula kurasa tubuhku dipeluk dan dipapah. Sebelum sedar diriku benar-benar hilang, kendengaran Uyung dan abangnya bertengar. Dan aku tidak kenal siapa-sapa lagi.

Memang kurasa bahagia pulang ke kampung halaman bapa kandung ku, tidak perlu ada orang menghargai keinginan ku itu. Walaupun ada antara keluarga belah ibu menegah dan memberikan suatu pandangan yang tidak baik dan menyebut nama baik bapa, tetapi, apakan daya, aku juga seperti orang lain yang ingin melihat suami ibuku, bapaku, kandung ku. Suatu cinta yang melekat di mata dan hati mereka hingga melahirkan aku. Bukan aku tidak menghargai bapa tiri yang menjaga kami dan membesarkan aku, tapi suatu naluri yang kuat sering mengajak aku supaya bertemunya, sekali atau sekejap pun tidak mengapa.

Dan bapa tiri sendiri mengajarkan, aku mesti jadi anak yang tahu berterima kasih kepada bapa kandung atas kelahiran ini, walau bukan membesarkan aku, tapi sebagai manusia, dia perlukan mengenal darah daging sendiri.

Dengan penghormatan bapa tiriku, memang dia selalu kurasa membahagiakan kami. Tiada suatu yang kuadukan dan rungutkan bapa tiri ku kepada saudara ibu, tetapi semua kebaikan yang kudapati hingga aku membesar dan boleh berdikari adalah atas keperihatinannya terhadap masa depan kami. Semua, bukan aku sahaja. Dan apabila peredaran masa mengembalikan aku di tempat jauh, aku tahu betapa jarak dan masa yang memisahkan kami pada waktu yang pandajng, makin mengikat kasih sayang kami. Rindu aku tidak pernah padam.

Dan untuk mengenal peri kehidupan bapa di sini, aku hanya membiasakan diri, melakukan kerja yang sepatutnya dan ikut berbelanja isi rumah. Dan dari hari ke sehari, kami sudah membiasakan diri dan mesranya sama seperti kemesraan keluarga di Kota Kinabalu.

Tetapi, yang terakhir ini menyentap rasa hormatku kepada mereka setengahnya dan kini aku jadi bahan intipan mata dan mulut curang manusia. Walaupun begitu, aku tetap tabah dan jangan terus berpatah hati kerana semua kekacauan dari hati manusia yang rosak dan berserabut memahami cara hiidup yang tenteram dan terhormat itu bakal berakhir jua.

Benar kata bapa tiriku, bukan dia enggan melepaskan aku, kecuali memang ada tempat untuk berlindung sewajarnya. Katanya, kerana aku perempuan, bukan pula tidak tahu menjaga diri, tetapi keadaan persekitaran tidak pernah memperdulikan kehormatan wanita, biar dia kuat mana pun.

Tiba-tiba sedarku pulih. Daripada berpinar-pinar dan lemah, perlahan-lahan aku menguasai sepenuh diriku dan mendengar suara manusia di sekelilingi ku.

"Kau sudah sedar Siti? Kau rasa anumu ada rasa sakit?"

Aku mebelalakkan mata memandang lelaki separuh umur itu dengan mengetap bibirku seakan putus.

"Daa.. bege'e!" sahut beberapa orang.

Tidak tahan sabar ku kali ini, lalu spontan kuhabur kemarahan: "Kurang ajar kau ada mulut manusia cuma-cuma seperti menyuap najis!"

"Hei! Kau cakap apa? Bakas! anak haram kau!"

"Diam kau pak Sanin!" teriak Pak Jalin, baru ku sedar dia di situ dan terus menerpanya dan tersimpuh di depan, "Apa yang berlaku kepada saya pakcik!" raungku.

Ruang segenap pelusuk rumah bapa menjadi hinggar binggar dan kedengaran juga perempuan yang memaki aku.

 "Tenang! tenang!. kau tiada apa-apa nak. Alhamdulillah selamat...selamat!"

 Malam itu juga aku dibawa pulang ke rumah nenek. Dan perbincangan keluarga pada keeskoan harinya hanya merayu supaya nenek jangan melapor kepada pihak polis. Beberapa saksi, termasuk Uyung memberitahu selepas Ubung mula mengusung aku ke bilik, dia berlari dan memanggil Pakcik Saat yang kemudian bersama beberapa sepupu kami berlari ke rumah.

Sampai di bilik mereka melihat Ubung terhoyang hayang menarik kain sarung ku dan aku tinggal separuh bogel dari hujung pusat ke hujung kaki. Dengan pantas, Pakcik Saat menarik Ubung dan menghentamnya di sana, manakala Uyung dan sepupunya menyarungkan aku kain dan di bawa keluar.

Belum pun sembuh hentaman saudaranya sendiri, pagi tadi Atuk Lan, abang nenek pula merayau di kampung dan hampir Ubung hampir nyawa-nyawa ikan. Dia terpksa diusung ke hospital dan Atuk Lan masuk lokap polis.

Nenek yang bagai kemabukan histeria, menyumpah seranah bapa dan eyang sambil memukul-mukul badannya.

 "Maraaa kam!" tempik nenek sambil disabar oleh Pakcik jalin.

"Apa yang saya tahu eyang, abang Jan dan ibu siti berkawan setahun dan selepas itu bernikah. Siti lahir lapan bulan selepas itu!"

 "Jan!!" teriak nenek kepada bapa, "Adakah a bana? Cakap kepada aku sekarang kalau tidak aku tidak izin kamu datang ke rumah aku lagi, sampai mati kamu jangan beribukan aku!"

Bapa hanya mengangguk dan mengumam sesuatu.

 "Apa yang kau cakap? Siapa yang memulakan gelaran anak haram kepada cucu aku?" Jengilnya kepada Eyang yang kumat kamit dekat bapa.

 "Tiada siapa antara kami cakap Siti anak haram eyang...Orang kampung semua. Semalam tu Ubung mabuk!" sahut eyang

 "Kau perempuan tidak tahu jaga anak. Dulu selepas memutuskan tunang dengan Jan, dia membangkang kaki mu semula dan kamu jadi setan yang tidak tahu malu! Merampas mantu ku dan cucu ku ini. Sekarang, untuk menyelamatkan nafsu kamu, fitnah disebar cucu ku anak haram!"

 "Dulu bapa Ubung yang cakap!" sahut eyang.

"Cakap apa? Siti anak haram?" teriak nenek lagi, raungku semakin kuat.

"Bapa Ubung yang cakap terpaksa kahwin dengan ibu Siti yang sudah bunting untuk tutup malu keluarga di sana!"

"Jadi? yang membuntinginya siapa? Kan Jan mengakui berkawan setahun, kahwin dan bininya beranak selepas lapan bulan bernikah? Yang membunting laki kau! Sampar! matai benono kam!"

 Dan inilah malam yang paling aku kenang selama tiga tahun di sini. Dan yang paling aku ingati sebelum kembali ke tempat kelahiran ku. Walaupun akhirnya Jan menceritakan cerita sebenar masa silam bapa bersama ibu dan bapa meminta maaf kepadaku, rasanya aku ingin melepaskan semua masa lalu ku tanpa mereka. Masa lalu ku adalah semata-mata bersama ibu dan bapa tiriku. Walaupun aku tetap menyematkan penghormatan kepada bapa, biarlah ia tertanam jauh dalam lubuk hati, tidak usah diungkit.

Dua minggu selepas kebobrokan manusia itu muncul menerkam kehormatanku, guru besar menyerahkan surat tawaran melanjutkan pembelajaran di maktab perguruan. Beberapa perkara penting yang perlu dipenuhkan pada borang itu sudah dimuktamadkan. Petang itu, aku membawakan khabar kepada nenek.

"Sayang, Siti tidak tunggu barang sehari dua. Nenek mahu buat kenduri,"

 "Lain kali nek. Siti diminta lapor diri esok,"

 Lidah nenek berdecit-decit.

 "Apa boleh buat. Nanti malam kita buatkan sedikit lauk pauk dan nasi untuk dihantar kepada orang kampung,"

Apa yang hendak aku katakan kepada mereka ialah tiada yang berubah kasih sayangku, terutama kepada nenek. Selama tiga tahun aku diawasinya, sanggup pula memecahkan kedinginan hubungan dengan bapa, semata-mata penantiannya sudah kutebus. Dan untuk terus berasakan limpahan kasih sayang, nenek memberikan aku suatu kecintaan yang paling mahal, yang diharap bukan terlewat untuk umurnya supaya terus berasa puas menyayangi ku.

Sebelum berangkat, aku nyatakan kepada nenek, bahawa kalaupun aku ditolak oleh bapa sendiri ke jurang yang tidak disedarinya mencemar nama baik ku, tapi aku masih ada penyelamat, tetapi penyelamat ku tentu akan berasa letih jua, dan khuatir menganggu kesihatannya, baiklah kami berpisah sementara lagi, kali ini aku enggan berjanji untuk sekerap datang kepadanya atau aku langsung tidak akan ke rumahnya lagi. Dengan semua hiba hampir menghilang rasa cinta kepada mereka yang melukakan hatiku, tapi mengenal mereka adalah suatu kedosaan untuk memutuskan semua pandangan mata.

Untuk meringankan beban perasaan nenek, kukatakan kemasukan ku berkursus adalah suatu pengormatan kepadanya juga bahawa selama 20 tahun dia menanti adalah tidak sia-sia kerana aku bakal menjadi orang yang berjaya bermula dari rumahnya.

Kini, di sini aku kembali memasuki bandar kelahiranku. Mempertemukan semula diri kepunyaan ku kepada keluarga ibu adalah suatu yang amat kusyukuri kerana tiada apa-apa yang mencalarkan nama baik mereka. bandar ini mungkin berbeza panas dan sejuknya, tetapi aku tahu ia bukan asing kepada ku kerana alamnya lebih dahulu mengenal suara kelahiranku, suara merenggek meminta makanan, hingga suara dimarahi guru kerana kenakalan dan suara membesar menjadi dara sunti yang bahagia dalam kehidupan bersama bonda dan ayahnda, biar dia hanya bapa tiri. Cukup aku bahagia.

 Suatu yang aku ingat sebaik sahaja turun dari bas mini, udara bandar ku ini semakin harum.

Nukilan : Yatim, Putatan.

By: MaWaR PuTiH

No comments:

Post a Comment