Friday 1 June 2012

KESENIAN DAN KEBUDAYAAN BAJAU

NAJAT WARISAN PUISI BAJAU KOTA BELUD
    ( gambar hiasan )
      Setiap bangsa di dunia mempunyai hasil karya dan seni budaya yang menjadi amalan dan hiburan. Setiap karya dan seni budaya ini pastinya sedapat mungkin diwariskan kepada generasi berikutnya.Begitu juga dengan Suku Kaum Bajau Kota Belud Sabah yang mewarisi kesenian puisi Lisan yang dikenali sebagai "NAJAT". 

     Najat merupakan sejenis puisi lisan yang dinyanyikan oleh masyarakat Bajau, khususnya masyarakat Bajau di Daerah Kota Belud, Sabah. Memandangkan najat juga tidak kurang menariknya sebagai sejenis puisi lisan, maka nyanyian ini juga mendapat perhatian dalam majlis-majlis keramaian masyarakat Bajau.

    Najat mempunyai empat ciri yang ketara, iaitu, pertama, ia mempunyai empat baris serangkap sepertimana bentuk syair Melayu dengan rima akhir yang sama a-a-a-a; kedua, najat disampaikan seperti cara menyampaikan syair dalam masyarakat Melayu, dengan lain perkataan ia tidak boleh disampaikan secara berpantun; ketiga, najat disampaikan tanpa menggunakan sebarang alat muzik, dan keempat, ia dinyanyikan sama ada secara solo atau secara dual (berpasangan), lazimnya hanya penyanyi lelaki sahaja. 

Contoh najat dapat diperhatikan seperti di bawah ini. 
 a) Nasihat I 
Buan sukup dentaun entedo 
Dela dendo kiti kerso 
Ligantu betong niaq tekiro 
Dekit dekit jo turi pekedom moto 

Bulan cukup setahun sekali 
Lelaki perempuan kita merasa 
Lapar perut tidak terkira 
Sedikit-sedikit sahaja tidur menutup mata


Nuntut ilmu ai no muq ganti
Patua lagu tu engkau ingati
Pagnalan Tuhan serta nabi
Dari kau lum sampai ka matai
 
Menuntut ilmu telahlah di sana ganti
Petua lagu ini engkau ingati
Pengenalan kepada Tuhan dan nabi
Dari kamu hidup sampai ke mati

 b) Nasihat II
o dinakan, oyo, dikiq, to, muraq
sadar no kiti junya tu ni indom samantara
alap no kam si baraq-baraq
ilmu akirat baun yang paling seteruaq

Wahai saudara, besar, kecil, tua, muda
Sedarlah kita dunia ini dipinjam sementara
Baiklah kamu saling mengingati
Ilmu akhirat bekalan yang paling baik 

matai tu setiap yang ellum kan kereso
sanang susa ni siksa ea tereso jo
amun iko amal ni posok surga no iyo
yang posok neraka pan nia no tekiro

Mati ini setiap yang hidup akan rasai
Senang susahnya siksa itu terasa juga
Jika banyak amal dia masuklah syurga
Yang masuk neraka juga tidaklah terkira

c) Pertanian
amun kiti kerjo parai
oyo dikiq songot niaq perirai
parit buweq alap ni usai
kuleq parai sanang jo atai

Kalau kita mengerjakan sawah
Besar kecil peluh tidak terkira
Air parit sebaiknya diatur
Dapat padi senanglah hati

ngetuq narad alap sitampu-tampu
bayaq ni lambat somo engkoq kutu
dong tinau ngeliu puriq pitu
lampung kerjon betamba mutu

Menuai padi baik bekerjasama
Biarlah lambat seperti kutu
Jangan takut bantu-membantu ke sana-sini
Kerja ringan bertambah mutu

d) Puasa
Waktu poso ukuman Tuhan
Setiap lau kiti niaq mangan
Telu empuq embangi beta ni tinanan
Tuhan ngendaq kiti beiman

Waktu berpuasa hukuman Tuhan
Setiap hari kita tidak makan
Tiga puluh hari lamanya ditahan
Tuhan menilai kita beriman

Teko no musim poso
Makanan minuman sukup iko
Iman engkoq napsu tinangkanan jo
Eno manusia ni rojo jomo

Datangnya bulan puasa
Makanan dan minuman cukuplah banyak
Iman dan nafsu ditahan sahaja
Itulah manusianya raja manusia (yang hebat) 

      Najat lazimnya memaparkan unsur-unsur pengajaran dan nasihat untuk hidup bermasyarakat, khususnya berdasarkan nilai-nilai agama, merupakan  satu alat hiburan, memperlihatkan unsur pengajaran, memberi teguran dan peringatan kepada pendengarnya, malah memaparkan satu gambaran aturan kehidupan sosial masyarakat khususnya budaya masyarakat Bajau. 

     Kesimpulannya bahawa pencipta najat berusaha untuk menggunakan sebaik mungkin kebolehan seninya bagi menyampaikan hal-hal tersirat yang terkandung dalam najat. Najat kemudiannya digunakan sepenuhnya sebagai salah satu alat budaya yang berupaya menyedarkan dan menjadi panduan kepada generasi Bajau yang sudah semakin hilang dan semakin jauh daripada budaya asal mereka. 

Dipetik daripada Tinjauan Awal terhadap Lakuan Bahasa dan aspek Sosiobudaya Bajau Oleh Saidatul Nornis Hj. Mahali Universiti Malaysia Sabah. 

By : MaWaR PuTiH ( USBO Kunak )

1 comment: