Saturday, 30 June 2012

SEJARAH BAJAU SABAH

BAJAU PANTAI TIMUR DAN BARAT SABAH

Pahlawan Bajau Kota Belud

Bajau Kota Belud
Bajau Kota Belud

Tarian Igal-Igal Bajau Pantai Timur

Ratu Lepa

Seni Kraf Tangan Bajau

Bajau Pantai Barat

Bajau Pantai Timur

   Kaum Bajau merupakan kaum bumiputra kedua terbesar di negeri Sabah. Kaum Bajau kebanyakkannya beragama Islam dan berasal dari dua kumpulan etnik yang tidak jauh bezanya iaitu Bajau di pantai Timur dan juga Bajau di pantai Barat.
    
    Mereka ini merupakan antara pelaut terkenal pada zaman dahulu sebelum kedatangan penjajah di Sabah. Kaum Bajau didapati mempunyai kemahiran membina sampan atau kapal yang sederhana saiznya dalam beberapa catatan sejarah.
     
    Kaum Bajau dahulunya juga adalah pelaut yang mahir di mana kegiatan utamanya ialah pelanunan serta penangkapan ikan. Orang-orang Bajau juga mempunyai kemahiran menunggang kuda dan ini menjadikan mereka antara kaum yang paling berjaya di Sabah. Kemahiran mereka ini menjadikan mereka terkenal di negeri Sabah dan diberi gelaran "Koboi Timur" atau "Koboi Sabah". 

    Semasa dalam majlis tertentu seperti pesta dan hari perayaan, penunggang kuda kaum Bajau ini sering kelihatan dalam pakaian berwarna-warni  malah kuda mereka juga dipakaikan kain seperti penunggang juga
  
    Orang Bajau yang berada di sebelah pantai Barat Sabah kebanyakkannya menetap dari bahagian Kota Kinabalu sehingga ke Kota Belud. Bagi kaum Bajau yang berada di bahagian pantai Timur Sabah , mereka masih mengamalkan kehidupan tradisional seperti kegiatan menangkap ikan dan kaum Bajau di sini digelar Bajau Laut. 

   Walaubagaimanapun orang-orang Bajau di bahagian Timur Sabah ini kebanyakkannya telah menetap di darat atau di perkampungan tepian pantai. Segelintir daripada mereka masih lagi tinggal dalam perahu yang merantau ke sana-sini iaitu Lepa. Kaum wanita Bajau juga terkenal dengan tenunan kain mereka iaitu Dastar yang disulam dengan kain berwarna merah, kuning, hijau, oren, emas dan putih. 
    
    Di Sabah, 6 bahasa Bajau di gunakan dan semuanya berasal daripada keluarga Sama-Bajau. Pengguna bahasa ini termasuklah pendatang-pendatang daripada negara jiran. Bagi kaum Bajau daripada  bahagian pantai Timur Sabah, bahasa mereka dipinjam daripada Suluk iaitu bahasa perdagangan di Laut Sulu. 

     Kaum Bajau pantai Barat Sabah pula mengadaptasikan bahasa mereka daripada bahasa Melayu. Kaum Bajau bahagian ini telah bekerjasama dengan kaum Kadazandusun dari segi akitviti ekonomi, perdagangan, perhubungan sosial serta kebudayaan. 

   Orang Bajau dikatakan telah menggunakan sistem Barter dalam aktiviti ekonomi mereka iaitu menukar ganti hasil tangkapan ikan mereka dengan beras orang Kadazan. Bukan itu sahaja, pengaruh kebudayaan daripada kedua-dua kaum ini juga dapat dilhat dari segi kesenian material, muzik dan juga rekabentuk bangunan. 


By: MaWaR PuTiH

READ MORE - SEJARAH BAJAU SABAH

Friday, 29 June 2012

BAHASA JIWA BANGSA


GLOBALISASI PEMANGKIN KEPUPUSAN 
BAHASA IBUNDA?
 SAMA seperti bahasa ibunda yang lain, bahasa Bajau/Sama turut mengalami penyusutan dari segi penuturnya apabila ramai generasi muda lebih selesa bercakap bahasa Melayu Sabah (sub-bahasa Melayu Kebangsaan).

Saya mengatakan sub-bahasa Melayu Kebangsaan kerana kebanyakan bahasa Melayu Sabah banyak dipengaruhi bahasa Sukuan tempatan terutama Brunei, Bajau/Sama, Kadazandusun.

Bagaimanapun, perincian mengenai perkara itu akan saya susul kemudian di bawah tajuk yang berbeza. Insya-Allah.

Seperti yang dimaklum, Bahasa Melayu diistiharkan sebagai Bahasa Kebangsaan di negara ini. Bagaimanapun, sebagai menguatkan sokongan aspek kebahasaan itu, mantan Ketua Menteri, Tun Mustapha Datu Harun, mengistiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal di negeri ini pada 16 September 1973.
 
Dan walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa sukuan atau ibunda bukan sahaja terus digunakan, tetapi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah banyak melakukan pelbagai kajian dan menyerapkan banyak bahasa sukuan ini untuk kemasukan istilah bahasa Melayu dalam Kamus Dewan.

Ini bermakna bahasa sukuan boleh dianggap sebagai antara teras bahasa penghubung semua kaum, selain pengiktirafan pembakuan bahasa Melayu Kebangsaan.
 
Sementara pembakuan bahasa Melayu terus dipergiatkan, termasuk usaha DBP Cawangan Sabah sejak sepuluh tahun lalu di bawah pentadbiran Pengarahnya, Zubaidi Abbas, bahasa Melayu Sabah juga turut mengalami perubahan apabila pengucapan bahasa baku itu menyerap dalam percakapan harian (jika dibuat perbandingan bahasa Melayu Sabah dianggap istilah bahasa pasar), umpamanya siring dibiasakan memakai tepi, piring kepada pinggan, senduk kepada sudu, partikel –bah banyak diganti kepada lah (dalam dielek Melayu Sabah, partikel -bah juga adalah –lah, mengikut kesesuaian).

Bagaimanapun, kedudukan bahasa ibunda itu mula disayang memandangkan ia mula mengalami evolusi kepupusan, sekurang-kurangnya bermula generasi muda abad ke-21 ini. Antara pepupusan itu bukannya disebabkan bahasa Melayu, seperti pendokong radikal segelintir pejuang bahasa ibunda tempatan, tetapi banyak berkaitan pengaliran pelbagai kemajuan teknologi, sama ada dari dalam atau luar Negara.

Semua penyebaran teknologi itu pula menggunakan bahasa yang memiliki pelbagai istilah yang agak rumit dan sudah pasti untuk memenuhi keperluan kefahaman dan pendidikan sesebuah Negara, maka bahasa yang dominan sahaja digunakan.Bermakna Negara ini, hanya bahasa Melayu yang dapat menyerapkan bahasa tekonologi dan sains (daripada bahasa pengeluarnya Inggeris atau Eropah) untuk disesuaikan pada ketepatan kefahamanannya.

Pada mulanya, saya agak terikut-ikut untuk menyuarakan cadangan supaya merancang pembinaan sebuah institusi bahasa ibunda (Bajau/Sama) di negeri ini. Ini berikutan adanya sedikit pembabitan saya dalam perancangan awal (menerusi kajian/laporan maklumbalas akhbar mengenai cadangan kemasukan pembelajaran bahasa Kadazandusun di sekolah rendah di negeri ini) , kemudian susulan rencana kemajuan yang dicapai. 

Daripada hanya ada dua atau tiga orang pegawai biasa bahasa KDM yang menghadiri akhbar dengan mantan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Dr Hasbullah Mohd Taha, hinggalah penerbitan buku cerita kanak-kanak, buku teks sekolah hinggalah dikembangan banyak sekolah dan sekarang IPT.

Daripada hanya anggota penyelaras biasa yang teragak-agak merancang program itu, kini selepas penat jerih mereka, anggota pelaksana yang menduduki badan itu sekarang hampir semuanya dianggotai pemimpin kerajaan, politik dan pegawai atasan.
 
Pegawai yang sama dengan saya pada sidang akhbar dan yang duduk dipejabat kecil di Dongongon tempat saya merujuk, entah ke mana. Sepatutnya, jasa mereka ini perlu dikenang dan diberikan tanggunjawab besar kerana sebagai perintis mereka tentu lebih faham apa itu cita-cita, bukan pula mahu nama. Jadi, jangan dibiar begitu sahaja. Jangan selepas objektif mencapai nama yang gah, tiba-tiba yang bertungkus lumus dahulunya merangka-rangka, kini dipandang sepi.

Bagaimanapun, hasrat saya untuk menjadikan bahasa ibunda Bajau/Sama menyusul sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah, bukan kerana mahu menyaingi bahasa KDM itu.Ia adalah bermula daripada pertanyaan saya kepada Dr Hasbullah, mengani kedudukan bahasa ibunda yang lain seperti Bajau (kedua terbesar di negeri ini selepas KDM).

Saya masih ingat, Dr Hasbullah menjawab bahasa selepas bahasa KDM mencapai peringkat IPTA, barulah bahasa lain menyusul dan ia adalah bahasa ibunda terbesar di negeri ini, maknanya Bajau/Sama.

Maka, daripada situ, saya menantikan jika Jabatan Pelajaran jika membuat dengan memanggil pihak jawatankuasa tertinggi PISBA (kini USBO) untuk berbincang.Nampaknya, persoalan saya itu tidak terjawab apabila tidak lagi sepenuh masa di akhbar sekarang (saya sepenuhnya penulis sastera di akhbar).

Terkemudian, selepas saya bertemu beberapa pemimpin menyuarakan hasrat supaya kita ikut, fikiran saya agak berubah, walaupun masih berharap adanya usaha lain bagi USBO untuk memastikan kedudukan bahasa ibunda ‘Jomo Tie’, tidak menjadi mangsa perubahan globalisasi kelak.

Dalam hal ini, memang tidak menafikan bahasa sukuan atau etnik boleh menjadi bahasa perantaraan sains dan teknologi ini, kecuali kita terpaksa menggunakan perbelanjaan yang besar hanya semata-mata untuk satu dua kaum yang kecil dan tidak meluas.
 
Dan saya juga tidak menafikan bahawa usaha untuk mengekalkan bahasa ibunda termasuk membina universiti, kemasukan sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah rendah, menengah dan institut pengajaian tinggi (IPTS/A), serta salah satu selitan bahasa persuratkhabaran, boleh menjadi pemangkin pengekalan bahasa ibunda.

Biasanya akhbar Sabah dominan satu suratkhabar dengan tiga bahasa utama iaitu Inggeris (utama), bahasa Melayu dan Kadazandusun.Sekarang, akhbar berbahasa Melayu sudah ada, tetapi menyelitkan bahasa KDM. Satu hari, saya berharap pihak USBO merancang untuk kemasukan bahasa Bajau/Sama di akhbar yang sama walaupun hanya satu muka surat.

Pada tahun 1990-an, akhbar Harian Mercu menjadi satu-satunya bahasa Melayu penuh di negeri ini, tanpa selitan dua bahasa itu.
 

Bagaimanapun, dari segi praktikalnya, bahasa yang tidak dominan untuk seluruh rakyat negara ini mungkin menghadapi pelbagai hadangan untuk mengembangkan bahasa berkenaan jika generasi muda terus enggan menggunakan di rumah atau pergaulan harian mereka.

Positifnya ia hanya boleh memperbanyakkan pelbagai dokumentasi sahaja dan mungkin segelintir pengkaji bahasa tidak akan menambah beban kajian mereka jika ada rujukan daripada bahasa Melayu atau Inggeris. 

Sementara, jika kita tidak membenarkan buku itu diterjemahkan ke bahasa lain maka, ada kemungkinan dapatan khazanah kaum itu tidak memberi sebarang makna untuk menambah nilai pengembangan budaya mereka.

Berbeza dengan penghasilan terus menggunakan bahasa Kebangsaan, selain pendokumentasian menggunakan bahasa ibunda itu sendiri, maka keadaan mungkin lebih baik tanpa perbelanjaan yang besar. Pada masa akan datang, kemasukan ke IPTA bahasa ibunda itu mungkin sepaerti satu krisis kebahasaan sahaja, kerana ia hanya untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai penutur bahasa ibunda yang fasih, tapi untuk menulis dan memasarkan buku menggunakan bahasa ibunda itu mungkin sukar.

Apa yang penting di sini, ialah bagaimana kita berfikiran terbuka terhadap penggunaan bahasa ibunda itu sendiri. Walapun kita tidak menyalahkan sepenuhnya kepada generasi muda untuk tidak bercakap bahasa sukuan mereka di rumah, tetapi ibu bapa perlulah sekurang-kurangnya menjadikan ia bahasa harian, kelak anak-anak akan memahami dan bercakap dengan mereka menggunakan bahasa tradisi itu.

Tetapi, kita tidaklah terlalu memikirkan bahasa ibunda hingga hal yang paling penting diketepikan. Dan saya amat bersetuju dengan saranan pemimpjn kita bahawa paling penting dan utama ialah adanya persatuan yang melindungi adat istiadat, budaya dan tradisi bangsa supaya terus perkukuhkan menerusi pelbagai program.

Dan ini kalau dikaitkan dengan USBO, memanglah kita memiliki pelbagai sarana untuk memastikan aspek itu kekal berterusan, hanya tinggal lagi melahirkan satu bangsa yang kuat berdasarkan perkembangan saingan globalisasi dalam bidang sosio-ekonomi, pembangunan, sains, pendidikan, teknologi maklumat dan alam sekitar.

Kita mesti bukan sahaja ada wakil dalam semua prospek ini, malah menjadi sebahagian individu atau pihak yang memiliki pemutus suara atau keputusan.Kita adalah sebahagian daripada pembangunan negeri dan negara, maka isu yang paling tama ialah pendidikan.Bagaimana kita melahirkan masyarakat ‘Jomo Tie’ yang paling cergas dalam bidang ini dan menjadi pemimpinnya.

Pada masa yang sama, ada pihak lain dalam kelompok kita yang terus menjurus aspek pendokumentasian pelbagai maklumat, penyaluran media, percetakan kamus, adat istiadat, buku cerita rakyat atau hasil susastera, gambar, artifak, bahan kraf serta kajian ilmiah.

Dan rasanya, tidak mengapa ia menggunakan media bahasa Melayu sebagai penyalur maklumat kerana inilah bahasa yang mudah dihadam dan difahami oleh semua golongan masyarakat. Untungnya kita dikenali dengan cepat dan ini akan mebantu proses perkembangan budaya dan perpaduan Negara secara keseluruhannya.


Yatim Ahmad, Putatan.

By: MaWaR PuTiH
READ MORE - BAHASA JIWA BANGSA

Thursday, 28 June 2012

BAHASA JIWA BANGSA

KOSA KATA BAHASA DERUMPUN BAJAU
( PANTAI TIMUR DAN BARAT SABAH )

             Bajau Pantai Timur

Aku sayang pada mu - Alasah aku ma ka'ah
Aku suka padamu - Bilahi aku ma ka'ah
Siapa namamu? - Sai on nu?
Nama saya Dayang - On ku Dayang
Sayang, aku cinta padamu / Sayang, aku sayang padamu - Rayang, alasa aku maka'ah
apa khabar? - Ai/I habbal?
di mana? - maingga?
Tak lama lagi aku jadi bapa = Embal toggol aku jari ammak
          Bangunlah kau - abatikna ka


aku - aku, saya
          angai - kenapa
ahok - ya
embal niak - tak ada
atoggol - lama
amangan - makan(sedang)
lingantuh - mengantuk
palakkas - cepat
palastik - plastik
amolek - pulang
ka'ah - kau, engkau, awak , anda
kita/kitam - kita
ka'am - kamu
kami - kami
bilahi - suka

rayang - sayang (Kata Nama - digunakan untuk memanggil atau menamakan seseorang yang disayangi)juga dignakan untuk panggilan anak prempuan
lasah - sayang, cinta, kasih (Kata Adjektif - menunjukkan perasaan sayang)
ralua - sama
maka - dengan
ma'iya - padanya
on - nama
sai - siapa
ku = ku(kata ganti nama diri pertama yang menunjukkan hak milik)
ammak - bapa
onggok - ibu
ombok - nenek
kakak - kakak/abang
sihaka - adik beradik yang lebih tua
sihali - adik
sihaka - abang
otok - (panggilan manja untuk adik/laki-laki yang lebih muda)
babu' - makcik
bapa/pak - pakcik
omboh/ombok -nenek/datuk
kaki - sepupu
tapek - kaki
anak - anak
umpu - cucu
lalla -lelaki
randa - perempuan
anak kamanakan - anak buah
anakranakan - keturunan
Ginis Kinakan - Jenis Makanan
bohek -air
manuk - ayam
raing/daing - ikan
sapi' - sapi/lembu
gula-gula/gulak-gulak - gula-gula
buas - nasi/beras
gula/gulak - gula
sayul - sayur
entollo - telur

         Ginis Walna/kolol - Jenis Warna

pote' - putih
ettom - hitam
bilu - biru
bianing - kuning
gaddung - hijau
kalas - merah jambu
keyyat - merah
taluk - unggu

         Numbul - Nombor

assa - satu
duwa - dua
tullu - tiga
uput - empat
lima - lima
unnum - enam
pituk - tujuh
waluk - lapan
siyam - sembilan
sangpuh - sepuluh
rahatus/dahatus - seratus

       Ada beberapa perkataan suku kaum bajau yang hampir sama 
       sebutannya dengan bahasa melayu dan membawa maksud yang
       sama dalam bahasa bajau.          

         Contoh:-

Tompah/taumpak - Terompah (kasut),
Badju - Baju,
Sin - Sen (Duit),
Aku - Aku,
buk - buku
Kitab - Kitab,
iskul - sekolah
tahik - air laut
rilaut/delaut - lautan
palauk/lauk - lauk
karitak - kereta
Tangan - Tangan
longon - lengan
bowa-bawa
bowak-mulut
Mata - Mata
Talinga - Telinga
Вuas- Beras
Kayu - Kayu
Sipak - Sepak (Tendang)
Sampak - pukul
Timbak - Tembak
Lakkas/palakkas - Lekas (Cepat)
anginum - Minum
amangan - makan
alahi - Lari
Sukup - Cukup
Potek - Putih,
bilu - biru,
bianing - kuning,
gaddung - hijau,
ettom - hitam,
coklat - cokelat,
oren - oren/jingga,
unggu/taluk - ungu,
ata'u - pandai
mata - mata
manis - manis(rupa yang manis);
amamis - manis(gula ataupun makanan atau minuman yang manis),
kukku - kuku ,
matai - mati,
atai - hati,
jantung - jantung,
hatus - ratus,
ngibu - ribu,
daluwa - sama,
batu - batu,
kota/bandal - kota,
bangsa - bangsa,
suku - suku,
lampuk - lampu,
suvuh - pagi,
sawan - cawan,
sapu - sapu,
lella/lalla - lelaki
danda/randa - perempuan,
atakka- sampai,
dua/rua,empat,lima,onnom/,sangpuh - dua,empat,lima,enam,sepuluh
issa,tullu,pituh,waluk,siam - satu,tiga,tujuh,lapan,sembilan
lumak - rumah,
Аa - orang
ahap - sedap/bagus
mingga - dari mana
sinnyawa/pantalun - seluar
bajjuk - baju
tapek - kaki
ung - hidung
lepa - perahu /biduk
suruk - sudu
maskid - masjid
angai - kenapa
dangai/rangai - berapa
to'a - tua
sambahayang - solat/sembahyang
bang - azan
sukup - cukup
katas - kertas
ahap - bagus/baik
otak/utuk - otak
lawang - pintu
bangkuk' - bangku
bittis - betis
tangan - tangan
jambatan - jambatan
langit - langit
napas - nafas
sigah - rokok
tb - tv
alam - tiada
langan-jalan(palengan2-jalan2)
amandi-mandi
bowa - bawa

       

       

       Bajau Pantai Barat  ( Kota Belud )

       
       lengantu = lapar
       limpang = baring
       luman tanak = jalan kaki
       mapi = masak
       kiti = kita
       benad betis = lenguh kaki
       somo = sama
       mangan = makan
       yan abar = apa khabar
       turi = tidur
       saging =pisang
       dendo = perempuan
       laruk = tapai
       jomo = orang
       kambul =selimut
       segai = mereka
       payau = rusa
       dela =lelaki
       baie = basi
       yangto'o =nenek
       tarum = terung
       mato'o =datuk
       ngeluteh = lesu
       eyang =mama
       kilik = cerek
       irom = hitam
       peberinut = beransur balik
       ema =bapa
       sian = siapa
       lema'an =jalan
       parak = berkecai
       nguta =muntah
       limbo = lemas
       tio =jauh
       seruan = bertunang
       sikot =dekat
       limpas =lalu /tumpang lalu
       turi =tidur
       lulai = lari
       ngantuk =mengantuk
       sekelat = selimut
       tegega =terkejut
       odon = tangga
       ingin =suka
       beluang = pintu
       gali =geli
       pendawan = tingkap
       teto'o =ketawa sesapu = penyapu
       pinggo =pergi ke mana
       temang = lidi
       minggo =mana
       kuri-kuri/beragam = main-mian
       songngom =malam
       mekale = dengar
       iyan/iyen =apa
       beserita = bercakap
       dela' =lidah
       mandi badak = malam berinai
       urung =hidung
       sabuk = gayung
       moto =mata
       situn = tempayan
       telingo =telinga
       kebentianan = ????
       siyen =siapa
       suang = sungai
       isa =satu
       regisin = tali air
       duo =dua
       ungkab = terkopek/buka
       telu =tiga
       empat=empat
       limo =lima
       enom =enam
       pitu' =tujuh
       wauk' =lapan
       siom =sembilan
       sepu' =sepuluh
       buas =nasi
       rapa' =sayur
       de'ing =ikan
       ratas/tara' =redah


Bahasa Bajau di Filipina

Bahasa bajau di selatan filipina juga menuturkan bahasa yang sama, tanpa perubahan sebutan atau makna. walaubagaimanapun,terdapat perbezaan sedikit diantara bahasa kaum bajau sebelah pantai barat dan pantai timur sabah, dari segi sebutan tetapi masih mengekalkan makna yang sama. 60% bahasa bajau adalah bahasa melayu. Apa yang pasti, kebanyakan orang tua - tua suku kaum bajau dahulu amat sukar apabila menyebut perkataan yang ada huruf 'R' dan 'C'dan Ј. Contohnya 'NUR' menjadi 'NUL', 'SABAR menjadi 'SABAL', 'SYUKUR' menjadi 'SUKUL', 'CUKUP' menjadi 'SUKUP', 'CAWAN' menjadi 'SAWAN', ΖАМАΝ menjadi ЈΑΜΑΝ,ΖΙΡ menjadi ЈΙΡ dan banyak lagi.

By: MaWaR PuTiH

READ MORE - BAHASA JIWA BANGSA

Wednesday, 27 June 2012

ANTOLOGI CERPEN

SELENDANG SANGGUL ARCA  

KABUS pagi dikejutkan hon pikap Utuh. Sepagi pukul 6 embun pagi yang terakhir disambar matahari. Beberapa ekor sapi masih berteleku dijalan, bingkas diteriaki hon pikap. Sambil berludah dari jendela, Utuh mengelak najis dan merungut sapi bau hancing.

Aku yang terbiasa bau-bauan desa itu sejak tiga tahun lalu hanya memuncung bibirnya sambil menahan nafas. Tetapi, haruman pagi yang bercampur baur itu kutarik sedikit hingga pangkal rongga, barangkali untuk yang terakhir.

Kemalasan sapi pada dingin pagi yang sebati kebasahan embun pada tumbuhan hijau rimbunan pisang, pokok kapuk, belukar senduduk dan terung pipit yang subur berpermaidanikan rumput ilalang dan tembusan arus kecil pada tebing sungai, bakal jadi kenang-kenangan pada ingatan. Semua yang pada mula kumesrai agak kekok pada kehidupan pertama di tanah leluhur ayah tiga tahun lalu, perlahan-lahan berlalu dibawa deru engin pikap.

Sebentar lagi, selepas Utuh menghantar dan sampai di pekan dan mini bas membawa pulang ke Kota Kinabalu, perdesaan ini mungkin suatu kuburan masa silam yang bakal tidak kuziarahi lagi. Betapa yang bernyanyi riang menyambut siang di tanah wangi itu adalah ayah, nenda dan kerabat keluarga.

Walaupun tekad itu seperti membebankan kedosaan pada diri, biarlah, sekali ini aku berambus secara relaku atau tidak, kuingin mengingati seawal ini aku keluar seperti manusia yang tidak memiliki pertalian darah dengan mereka semua. Aku merajuk, siapatah yang peduli? Kerana aku mungkin lahir dan jatuh dari dunia lain di halaman rumah mereka, seperti yang menutupi auratku adalah hanya karung buruk.

Sepagi itu, pelupuk mataku berasakan pedih, dan hidung ku seperti tersumbat dan merah seperti selesema, itu yang buat pertama kali nyeri menusuk jantung ku selepas tiga tahun kurasakan bahagia. Tapi, cukuplah kalau tiga tahun itu aku mengenal kasih sayang mereka, walaupun malapetaka yang menimpa ku pada dua bulan terakhir ini, kuanggap imbalan atas jasa mereka menyediakan tempat tidur dan mengisi nasi dan air untuk mengenyang perutku.

Selepas selekoh terakhir dekat masjid, pikap Utuh berhenti di kawasan pasar di tengah pekan dan kebetulan bas mini berwarna coklet muda hanya menunngu seorang penumpang sebelum bertolak. Utuh memberhentikan pikap di sebelah dan agak perlahan dan teragak-agak mengeluarkan bakul pakaianku untuk muat di belakang kenderaan.
Pemandu itu bercakap sesuatu kepadanya.

 "Sampai disini sahaja dik Utuh. Terima kasih dan kirim salam kepada eyang dan ma," suara ku serak.

Utuh belum berganjak dan memandang mataku.

Aku cuba ketawa tapi, pipi mungil ku yang terangkat menutup bawah kelopak mataku hanya merembeskan air jernih dari celah hujung mata. Aku cepat mengesat dengan hujung baju kurung. Melihat keadaan yang kami, pemandu itu beralih sambil membakar sigup kirainya.

Beberapa saat, kami berdiam, melayan suatu yang menindih dada kami dan walaupun Utuh mengawal perasaannya, tetapi mulut kami terkunci sambil berhadap-hadapan. Selain perbualan peniaga yang membentang alas di kaki lima pasar dan menumpuk hasil laut, udang dan ketam, persekitaran kami dilagakan bunyi pintu papan kedai yang dibuka.

Tapi, akhirnya kami terpaksa menamatkan perasaan yang tertekan tanpa berkata-kata, apabila pemandu bas mini itu mengangkat kepalanya kepada Utuh.

"Baik-Baik jaga diri, kak. Jangan lupa kirim surat," dan menyalami aku.

 "Tinggallah Utuh. Jagalah diri kau baik-baik dan sambung belajar!" pintaku.

Aku mengangkat beg, menunduk kepala dan duduk di kusyen lantas menutup pintu. Bas mini mula mengeram dan meninggalkan sedikit asap. Utuh melambai yang ku balas dengan hanya pandang mata.

Kini, bermula lagi perjalanan kembali ke selatan, ke ibu negeri, tempat kelahiranku. Memang ia suatu perjalanan hilir mudik cinta dan rindu yang sentiasa bergilir dalam selukan batinku. Seperti angin yang menyela antara dedaun, begitulah hatiku. Tetapi, selepas tiga tahun, angin deras dari jendela bas mini seperti berebut mengucup wajahku, menyejukkan dingin manik-manik yang merembes pada hujung mataku.

Seawal pagi ini aku rasa tergamak pulang ke daerah kelahiran dengan kurasakan beribu kawat duri menarik isi dan kulit belakang ku. Nyeri kurasa meninggalkan nenek yang seperti tidak terdaya melindungi aku daripada ancaman kecurangan orang, bukan orang lain, tapi saudaranya dan saudaraku sendiri.

Alangkah indah dalam pelukan daerah leluhur bapa kandung ku ini, selama kira-kira 20 tahun aku tidak pernah melihat wajahnya dan kusangka terus lupus dari pandangan mata sejak aku membesar dan mengetahui bahawa dia menceraikan ibu sewaktu aku berumur lima hari dari kelahiran. Ketika mula-mula pulang, aku seperti mahu mengubat rindu yang belum hilang itu, sama ada ibu atau ayah sendiri yang mereka ikrarkan sebagai hanya hubungan saudara.

Walaupun kemudian kedewasaanku ini mengembalikan aku untuk mencapai kasih sayang orang tua, tapi rupa-rupanya yang lebih berharap pertemuan ini adalah nenek belah bapa. Memang suatu yang mengujakan nenek. Mendengar perkhabaran daripada pakcik Jalin bahawa cucunya yang dia rindu sekian lama bakal menghuni daerah leluhurnya.

Permulaannya memang agak mengejutkan apabila permohonan untuk mengajar sebagai guru sandaran diluluskan di sekolah rendah di Kota Belud, kebetulan berhampiran kampung nenek. Selepas hampir dua tahun menganggur setelah tamat Malaysian Certificate Education (MCE) kelas tiga, aku membawakan berita itu kepada ibu meminta bantuan nenda untuk mencari Pakcik Jalin, abang kepada ayah, supaya mengkhabarkan pemergian ku di sana.

Nenda yang membuka warung di pasar malam dan berhampir perhentian bas penumpang ke Kota Belud lantas manyuruh orangnya menyampaikan pesanan. Tidak lama selepas pakcik Jalin tururn ke Kota Kinabalu dan kami berbincang untuk hari yang ditetapkan berangkat ke sana.

Memang membahagiakan aku. Tidak bosan aku menyatakannya. Perjalanan pertama ke utara yang memberikan bekas mual dan muntah di sepanjang 68 selekoh ke sana, menjadi suatu perjalanan yang mahal. Setelah terbiasa, menjadi perjalanan indah dari jendela kenderaan.

Pertama kali menghadapi nenek, aku diratapnya, menumpahkan semua kesakitan lahir batin kerana menunggu kepulangan ku 20 tahun lalu. Walaupun nenek pernah bertemu aku di pasar Jesselton, nama ibu negeri sebelum merdeka, dan pernah mengangkat ku yang baru berumur beberapa bulan di matanya kerana pilu perbuatan ayah meninggalkan kami. Dan atas kesukaran ke Jesselton, daerah asing baginya, membuat nenek berputus asa dan lebih baik janganlah bertemu. Bertemu sekejap dan pulang ke daerahnya yang jauh, hanya menyiksa mata batinnya yang turut dicalar perbuatan bapa. Sementara Pak Cik Jalin berkahwin di kampung, maka tiada siapa yang menemaninya untuk kali kedua bertemu kami.

Pertemuan pertama kali itupun adalah atas bantuan Pakcik Jalin yang mengenal saudara mara ibu.

Sejak pulang dari Jesselton, bermulalah hubungan dingin antara nenek dan ayah yang tinggal jauh dikampung lain bersama isterinya, ibu tiriku. Tetapi, kerana kepulangan ku ini, Pakcik Jalin mengesyorkan aku tinggal bersama bapa supaya nenek kembali menerimanya semula. Mungkin aku ibarat angin yang menghalau mendung, menjadikan hubungan dingin itu mencair di hati nenek.

Selama tiga tahun aku berulang-alik dari selatan dan utara, mengajar di sekolah rendah dan dua kali sebulan menghadiri kursus di Maktab Perguruan Gaya untuk memantapkan kemahiran mengajar, tidak pernah kurasa janggal bersama mereka. Sementara bapa tiri tidak berjauh hati, aku tetap menjadi kesayangannya bersama ibu dalam rumahtangga yang mereka bina bermula umur ku mencecah lima tahun. Dan adik tiri belah ibu ku tetap menganggap aku sebagai kakak mereka yang turut ada tanggungjawab di daerah lain, juga memiliki adik tiri belah ayah.

Tapi, awan mendung yang kuhalau itu, kembali menyelungi kententeraman kami di Kota Belud. Ia bermula daripada keluarga eyang ku yang pada mulanya meniti dari bibir ke bibir secara senyap. Kemudian, semakin aku diterima oleh keluarga nenek, semakin gelombang fitnah itu meracun hubungan dengan keluarga bapa.

Tuhan...! desisku. Pandangan seorang membungkus aku hingga hampir lemas dan aku menjadi seperti serangga yang bergerak di rumah kebangsawanan itu menjadi intaian cicak. Alangkah pedih hati, apabila berkali-kali adik tiriku meminbta kad pengenalan dan membandingkan dengan nama binti pada kad pengenalan mereka, serta mengocehnya dengan bahasa yang aku tidak faham benar. Sementara abang sulung mereka, Ubung yang terkenal nakal, pemabuk dan kaki pukul itu, menjadi haiwan liar yang mengintai mangsa.

Walaupun umur kami hampir sama kira-kira 20 tahun, sementara aku tua lima bulan, tapi pertumbuhan badan yang tinggi enam kaki dan agak sasa itu menjadikan aku hanya separas bawah bahunya. Menyedari kesan buruk aku hadapi daripada kecurangan mata orang, beberapa kali aku cuba mengungkit masa silam bapa. Tapi, bapa seperti tidak kisah. Atau dia tidak mengetahui intipan orang itu sudah menjadi akar yang menjalar dari tiang rumah hingga ke seluruh penjuru rumahnya.

 "Kami bercerai bukannya ada gaduh. Semuanya berjalan baik hingga kami bercerai," ringkas bapa. Dan walaupun bapa tidak menceritakan sebab mengapa dia tidak pulang selepas berjanji dengan ibu untuk mengambil beras di kampung, tetapi cukuplah kurasa andainya dia mengikis fitnah yang mengelar aku anak haram!

Khuatir desas desus itu sampai di sekolah, kepada tenaga pengajar sekolah dan murid-murid, aku memulakan usaha mencari Pakcik Jalin dan menceritakan perihalku di rumah bapa.

 "Kenapa tidak beri tahu bapa? Siti berterus teranglah pada dia,

"Apalah daya Siti ini, pakcik. Malu Siti ni, malu betul!"

 "Buat masa ini Siti jangan melayan cakap orang. Nanti pakcik bertemu bapa,"

 "Jika boleh baiklah pakcik selesai dengan bapa cepat-cepat. Jangan berita ini sampai kepengetahuan pihak sekolah, malu benar rasanya!"

Tapi yang datang kemukaku kemudian ialah bapa mula menjadi dingin. Apalah yang aku boleh buat, hendak pulang mengadu kepada ibu, khuatir berlaku suatu yang tidak diingini. Mungkin pergaduhan besar dan ungkit mengungkit kisah lalu.

Keesokannya aku ke bilik guru besar dan berbincang jika dia boleh menggunakan pengaruh untuk memindahkan aku ke sekolah rendah di Kota KInabalu atau Putatan.

 "Kenapa tiba-tiba Siti?" Cikgu Kamin mengangkat alis matanya dari kacamata tebal.

 "Ibu kurang sihat dan selalu sakit. Bapapun sudah tua benar," aku berbohong.

 "Kalau berpindah sekolah tu sukar betul sekarang. Terlalu ramai hendak jadi guru sandaran dan semua sekolah penuh dengan guru sandaran sahaja,"

 "Apa yang patut saya buat, cikgu? berhenti sahajalah!"

 "Oh! jangan..jangan. Bukan begitu, jangan cepat merajuk!" Guru besar ketawa panjang. Aku yang cemas turut ketawa.

 "Saya boleh cadangkan perpindahan itu, kita kena siasat di Jabatan Pelajaran. Tapi, kalau Siti mahu saya, boleh tolong masukkan nama Siti memasuki Maktab Perguruan. Ada satu kuota di sini,"

 "Ah! itukan bagus cikgu?"

 "Yalah. Kamu yang mengelabah?" Cikgu Kamin merungut, "Baik Siti. Pengambilan untuk bakal guru ke maktab sedang berjalan sekarang. Jadi, satu kuota dari sekolah ini saya masukkan nama Siti, boleh?"

 "Saya tunggu jawaoannya cikgu,"

 "Baik. Isi borang dan buat semua salinan sijil dan dokumen penting. Surat pengesahan dan prestasi saya sedia kemudian,"

 Selama menanti beberapa bulan yang meresahkan, aku beberapa kali pulang alik ke Putatan dan semua yang menyelebungi ku di kampung bapa, kupendamkan jangan diktehaui atau terlanjur menyebutnya. Dan nenek yang perasaan aku selalu pulang ke Kota Kinabalu, menanya jika aku ada masalah.

Tapi, aku menolak untuk berterus terang dan cuba menghabiskan banyak masa di sekolah hingga petang.

Selepas tiga bulan, aku dipanggil oleh Guru Besar dan suatu yang memang aku tunggu, ada di mejanya, walaupun hari pendaftaran di Maktab Perguruan Gaya berlangsung sebulan dari sekarang. Tapi aku dikehendaki oleh guru besar menyelesaikan beberapa perkara sebelum membawa ke pejabat maktab.

Pulang dari sekolah, aku langsung mendapatkan Uyung dan kami menghabiskan masa berdua malam itu di rumah. Semua keluarga ke hujung kampung, ke rumah sepupu eyang, anaknya berkahwin lusa. Sementara, menyembunyikan kegirangan hati, aku membantu Uyung mengulang kaji pembelajarannya.

Ubung yang datang membawa dua botol oren tidak kami indahkan hinggalah dia menghulur segelas kepadaku dan Uyung. sambil minum, kami melukis sementara Ubung duduk di anjung sambil memerhati kami. Tiba-tiba aku rasa pening, berpinar-pinar dan kedinginan mula menjalar dari tapak kaki naik urat sarafku.

 "Ubung! apa minuman yang kau beri kakak ni?"

"Kenapa kak?" tanya Uyung cemas.

 "Tolong kakak Yung...jangan lepaskan kakak!"

Tiba-tiba aku rasa seluruh tubuhku tidak lagi berpijak di mana-mana. Ubung menutup pintu dan mula kurasa tubuhku dipeluk dan dipapah. Sebelum sedar diriku benar-benar hilang, kendengaran Uyung dan abangnya bertengar. Dan aku tidak kenal siapa-sapa lagi.

Memang kurasa bahagia pulang ke kampung halaman bapa kandung ku, tidak perlu ada orang menghargai keinginan ku itu. Walaupun ada antara keluarga belah ibu menegah dan memberikan suatu pandangan yang tidak baik dan menyebut nama baik bapa, tetapi, apakan daya, aku juga seperti orang lain yang ingin melihat suami ibuku, bapaku, kandung ku. Suatu cinta yang melekat di mata dan hati mereka hingga melahirkan aku. Bukan aku tidak menghargai bapa tiri yang menjaga kami dan membesarkan aku, tapi suatu naluri yang kuat sering mengajak aku supaya bertemunya, sekali atau sekejap pun tidak mengapa.

Dan bapa tiri sendiri mengajarkan, aku mesti jadi anak yang tahu berterima kasih kepada bapa kandung atas kelahiran ini, walau bukan membesarkan aku, tapi sebagai manusia, dia perlukan mengenal darah daging sendiri.

Dengan penghormatan bapa tiriku, memang dia selalu kurasa membahagiakan kami. Tiada suatu yang kuadukan dan rungutkan bapa tiri ku kepada saudara ibu, tetapi semua kebaikan yang kudapati hingga aku membesar dan boleh berdikari adalah atas keperihatinannya terhadap masa depan kami. Semua, bukan aku sahaja. Dan apabila peredaran masa mengembalikan aku di tempat jauh, aku tahu betapa jarak dan masa yang memisahkan kami pada waktu yang pandajng, makin mengikat kasih sayang kami. Rindu aku tidak pernah padam.

Dan untuk mengenal peri kehidupan bapa di sini, aku hanya membiasakan diri, melakukan kerja yang sepatutnya dan ikut berbelanja isi rumah. Dan dari hari ke sehari, kami sudah membiasakan diri dan mesranya sama seperti kemesraan keluarga di Kota Kinabalu.

Tetapi, yang terakhir ini menyentap rasa hormatku kepada mereka setengahnya dan kini aku jadi bahan intipan mata dan mulut curang manusia. Walaupun begitu, aku tetap tabah dan jangan terus berpatah hati kerana semua kekacauan dari hati manusia yang rosak dan berserabut memahami cara hiidup yang tenteram dan terhormat itu bakal berakhir jua.

Benar kata bapa tiriku, bukan dia enggan melepaskan aku, kecuali memang ada tempat untuk berlindung sewajarnya. Katanya, kerana aku perempuan, bukan pula tidak tahu menjaga diri, tetapi keadaan persekitaran tidak pernah memperdulikan kehormatan wanita, biar dia kuat mana pun.

Tiba-tiba sedarku pulih. Daripada berpinar-pinar dan lemah, perlahan-lahan aku menguasai sepenuh diriku dan mendengar suara manusia di sekelilingi ku.

"Kau sudah sedar Siti? Kau rasa anumu ada rasa sakit?"

Aku mebelalakkan mata memandang lelaki separuh umur itu dengan mengetap bibirku seakan putus.

"Daa.. bege'e!" sahut beberapa orang.

Tidak tahan sabar ku kali ini, lalu spontan kuhabur kemarahan: "Kurang ajar kau ada mulut manusia cuma-cuma seperti menyuap najis!"

"Hei! Kau cakap apa? Bakas! anak haram kau!"

"Diam kau pak Sanin!" teriak Pak Jalin, baru ku sedar dia di situ dan terus menerpanya dan tersimpuh di depan, "Apa yang berlaku kepada saya pakcik!" raungku.

Ruang segenap pelusuk rumah bapa menjadi hinggar binggar dan kedengaran juga perempuan yang memaki aku.

 "Tenang! tenang!. kau tiada apa-apa nak. Alhamdulillah selamat...selamat!"

 Malam itu juga aku dibawa pulang ke rumah nenek. Dan perbincangan keluarga pada keeskoan harinya hanya merayu supaya nenek jangan melapor kepada pihak polis. Beberapa saksi, termasuk Uyung memberitahu selepas Ubung mula mengusung aku ke bilik, dia berlari dan memanggil Pakcik Saat yang kemudian bersama beberapa sepupu kami berlari ke rumah.

Sampai di bilik mereka melihat Ubung terhoyang hayang menarik kain sarung ku dan aku tinggal separuh bogel dari hujung pusat ke hujung kaki. Dengan pantas, Pakcik Saat menarik Ubung dan menghentamnya di sana, manakala Uyung dan sepupunya menyarungkan aku kain dan di bawa keluar.

Belum pun sembuh hentaman saudaranya sendiri, pagi tadi Atuk Lan, abang nenek pula merayau di kampung dan hampir Ubung hampir nyawa-nyawa ikan. Dia terpksa diusung ke hospital dan Atuk Lan masuk lokap polis.

Nenek yang bagai kemabukan histeria, menyumpah seranah bapa dan eyang sambil memukul-mukul badannya.

 "Maraaa kam!" tempik nenek sambil disabar oleh Pakcik jalin.

"Apa yang saya tahu eyang, abang Jan dan ibu siti berkawan setahun dan selepas itu bernikah. Siti lahir lapan bulan selepas itu!"

 "Jan!!" teriak nenek kepada bapa, "Adakah a bana? Cakap kepada aku sekarang kalau tidak aku tidak izin kamu datang ke rumah aku lagi, sampai mati kamu jangan beribukan aku!"

Bapa hanya mengangguk dan mengumam sesuatu.

 "Apa yang kau cakap? Siapa yang memulakan gelaran anak haram kepada cucu aku?" Jengilnya kepada Eyang yang kumat kamit dekat bapa.

 "Tiada siapa antara kami cakap Siti anak haram eyang...Orang kampung semua. Semalam tu Ubung mabuk!" sahut eyang

 "Kau perempuan tidak tahu jaga anak. Dulu selepas memutuskan tunang dengan Jan, dia membangkang kaki mu semula dan kamu jadi setan yang tidak tahu malu! Merampas mantu ku dan cucu ku ini. Sekarang, untuk menyelamatkan nafsu kamu, fitnah disebar cucu ku anak haram!"

 "Dulu bapa Ubung yang cakap!" sahut eyang.

"Cakap apa? Siti anak haram?" teriak nenek lagi, raungku semakin kuat.

"Bapa Ubung yang cakap terpaksa kahwin dengan ibu Siti yang sudah bunting untuk tutup malu keluarga di sana!"

"Jadi? yang membuntinginya siapa? Kan Jan mengakui berkawan setahun, kahwin dan bininya beranak selepas lapan bulan bernikah? Yang membunting laki kau! Sampar! matai benono kam!"

 Dan inilah malam yang paling aku kenang selama tiga tahun di sini. Dan yang paling aku ingati sebelum kembali ke tempat kelahiran ku. Walaupun akhirnya Jan menceritakan cerita sebenar masa silam bapa bersama ibu dan bapa meminta maaf kepadaku, rasanya aku ingin melepaskan semua masa lalu ku tanpa mereka. Masa lalu ku adalah semata-mata bersama ibu dan bapa tiriku. Walaupun aku tetap menyematkan penghormatan kepada bapa, biarlah ia tertanam jauh dalam lubuk hati, tidak usah diungkit.

Dua minggu selepas kebobrokan manusia itu muncul menerkam kehormatanku, guru besar menyerahkan surat tawaran melanjutkan pembelajaran di maktab perguruan. Beberapa perkara penting yang perlu dipenuhkan pada borang itu sudah dimuktamadkan. Petang itu, aku membawakan khabar kepada nenek.

"Sayang, Siti tidak tunggu barang sehari dua. Nenek mahu buat kenduri,"

 "Lain kali nek. Siti diminta lapor diri esok,"

 Lidah nenek berdecit-decit.

 "Apa boleh buat. Nanti malam kita buatkan sedikit lauk pauk dan nasi untuk dihantar kepada orang kampung,"

Apa yang hendak aku katakan kepada mereka ialah tiada yang berubah kasih sayangku, terutama kepada nenek. Selama tiga tahun aku diawasinya, sanggup pula memecahkan kedinginan hubungan dengan bapa, semata-mata penantiannya sudah kutebus. Dan untuk terus berasakan limpahan kasih sayang, nenek memberikan aku suatu kecintaan yang paling mahal, yang diharap bukan terlewat untuk umurnya supaya terus berasa puas menyayangi ku.

Sebelum berangkat, aku nyatakan kepada nenek, bahawa kalaupun aku ditolak oleh bapa sendiri ke jurang yang tidak disedarinya mencemar nama baik ku, tapi aku masih ada penyelamat, tetapi penyelamat ku tentu akan berasa letih jua, dan khuatir menganggu kesihatannya, baiklah kami berpisah sementara lagi, kali ini aku enggan berjanji untuk sekerap datang kepadanya atau aku langsung tidak akan ke rumahnya lagi. Dengan semua hiba hampir menghilang rasa cinta kepada mereka yang melukakan hatiku, tapi mengenal mereka adalah suatu kedosaan untuk memutuskan semua pandangan mata.

Untuk meringankan beban perasaan nenek, kukatakan kemasukan ku berkursus adalah suatu pengormatan kepadanya juga bahawa selama 20 tahun dia menanti adalah tidak sia-sia kerana aku bakal menjadi orang yang berjaya bermula dari rumahnya.

Kini, di sini aku kembali memasuki bandar kelahiranku. Mempertemukan semula diri kepunyaan ku kepada keluarga ibu adalah suatu yang amat kusyukuri kerana tiada apa-apa yang mencalarkan nama baik mereka. bandar ini mungkin berbeza panas dan sejuknya, tetapi aku tahu ia bukan asing kepada ku kerana alamnya lebih dahulu mengenal suara kelahiranku, suara merenggek meminta makanan, hingga suara dimarahi guru kerana kenakalan dan suara membesar menjadi dara sunti yang bahagia dalam kehidupan bersama bonda dan ayahnda, biar dia hanya bapa tiri. Cukup aku bahagia.

 Suatu yang aku ingat sebaik sahaja turun dari bas mini, udara bandar ku ini semakin harum.

Nukilan : Yatim, Putatan.

By: MaWaR PuTiH
READ MORE - ANTOLOGI CERPEN

Tuesday, 26 June 2012

KOSTUM RUMPUN BAJAU


SARUNG DAN SYALAWAR 

BAJAU-SULUK SEMPORNA

Busana Masyarakat Suku Bajau Laut
di Semporna Sabah

      Kepulauan Melayu di persekitaran Laut Sulu, Borneo, laut Sulawesi hanya dipisahkan oleh air dan lautan. Tetapi lautan juga menemukan aneka suku keturunan kepulauan Melayu dan disatukan dengan kefahaman agama yang sama iaitu Islam. Kedatangan suku kaum dari Sulu, Mendanau masih mengekalkan nama beberapa suku di Sabah. 

     Di Semporna kesamaan ciri busana itu telah membentuk gaya dan jatidiri yang mempamerkan keunikan gaya hidup. Istilah Bajau Laut diperikan sebagai masyarakat yang asalnya menempati perairan. Kesamaan pola busana pula ialah mengekalkan kain sarung dan seluar. Tradisi ini masih diteruskan dalam acara kesenian terutama dalam perayaan perkahwinan atau adat istiadat persembahan terutama seni tari.


By : MaWaR PuTiH

 

READ MORE - KOSTUM RUMPUN BAJAU

PUISI MELAYU



HIDUP SEPERTI WAYANG KULIT

Hidup seperti wang kulit
panas dan sejuknya
mendung dan hujannya
malam dan siangnya
gelap dan suramnya
lapar dahaganya
nasi dan setitis airnya
sakit dan cerinya
kau terus
mengikut
kata

Hidup seperti wayang kulit

kau penurut tingkah
dalangmu
dia ketawa, kau ketawa
dia marah, kau marah
dia sakit, kau kaku sihat
dia lapar, kau tampak kenyang
dia sejuk, kau tanpak segar
dia lemah, kau gemalai
dia nazak
kau terbiar

Hidup seperti wang kulit

kau itu hanya arca
yang tergelatak
tidak juga meronta
tapi kau mungkin
hanya bangkai


Yatim Ahmad
PUTATAN

By : MaWaR PuTiH
READ MORE - PUISI MELAYU

Monday, 25 June 2012

PANTUN BAJAU SAMAH


JOMO NGENTOM   
Kekuak manuk tengah bangi
Ngenda buan jata pentaran
Tintom ku lagi masa dembangi
Masa ti masih bungar bungaran

Beriu niup lelayang lemiang
Mapi buas nia pandai datai
Kiti elum mesti berkasih sayang
Walau tio ta moto sikot tak atai
Lumaan pederio bebaun petai,
Ngendo booh penunuh apo,
Tio tak moto sikot ta atai.
Walau dakeet niah telupo..
Anak samah lanji dendo
Pandai bana menari limbai
Minsan kau di rungai ta moto
Oron nu tatap ta diom atai

Mangan sireh siguul koh apo,
Lapah sireh anjatah lantai,

Walau dakeet nia telupo.

Kasih sayangku sampai kumatai.


Nukilan
Umadi Polot / Sabli Likup
Kota Belud

By: MaWaR PuTiH 
READ MORE - PANTUN BAJAU SAMAH

Sunday, 24 June 2012

BERITA KOTA BELUD

KEUNIKAN KOTA BELUD

SABAH memang kaya dengan pelbagai keindahan alam semula jadi daripada dasar lautnya hinggalah ke puncak gunung Kinabalu. Namun di sebalik keindahan alam itu negeri juga kaya dengan pelbagai etnik yang menyimpan seribu satu budaya dan adat daripada lebih 32 etnik. 

Dengan pelbagai etnik seperti Bajau, Iranun, Kadazan Dusun, Murut dan sebagainya pastinya mempunyai budaya dan adat yang berbeza yang dipegang kuat. 

Pengalaman penulis mengunjungi sebuah kawasan yang sinonim dengan etnik Bajau Kuda iaitu Kota Belud memperlihatkan keunikan budaya etnik yang kaya dengan pelbagai adat resam itu. Kota Belud atau bermaksud ‘Kota Bukit’ mempunyai pelbagai etnik seperti Bajau, Iranun dan Kadazandusun. 

Pengalaman kali pertama penulis menjejakkan kaki ke Kota itu memberikan pengalaman bermakna dan membawa banyak persoalan mengenai pelbagai budaya dan adat yang masih diamalkan masyarakat di situ. 

Kawasan yang menjadi tumpuan utama dan cukup terkenal di sini pastinya pasar tamu yang menjual pelbagai barangan dari barang harian hinggalah ke barangan kraftangan. 

Di sinilah keunikan sebenar masyarakat Bajau yang terkenal dengan kemahiran mereka menunggang kuda dipamerkan dengan pelbagai aksesori dan kraftangan boleh didapati untuk dijadikan kraftangan. Makanan tradisional kaum Bajau dan Iranun turut dijual seperti kuih penjaram dan ikan masak ampap. 

 Selain itu terdapat juga pelbagai barangan kraftangan dari suku kaum lain iaitu kaum Iranun, dan Dusun Tamu besar biasanya diadakan selama dua hari iaitu setahun sekali pada bulan Oktober dan kemeriahan ini diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti kesenian dan keramaian seperti pertandingan Ratu Sarimpak, pertandingan kuda berhias dan lumba kerbau. 

Satu lagi kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di Kota Belud ialah Pulau Mantanani. Keindahan dan ketenangan air lautnya yang membiru pastinya akan menggamit pemandangan pengunjung yang tiba buat kali pertama. Pulau Mantanani adalah pulau terpencil yang masih mempunyai pelbagai keindahan alam semula jadi yang yang terletak di Barat Laut Kota Belud Untuk ke sana pengunjung perlu menaiki bot laju yang mengambil masa selama sejam dari jeti Kuala Rampaian, dan akan mengambil masa selama satu setengah jam jika dari Kuala Abai. 

 Terdapat pelbagai spesies hidupan laut yang terdapat di sini yang mampu menarik perhatian peminat aktiviti scuba diving dan ia juga merupakan antara kawasan yang sering menjadi tumpuan aktiviti ini dari seluruh dunia. 

Terdapat 16 lokasi aktiviti scuba yang telah dikenalpasti malah dikatakan terdapat banyak lagi kawasan yang belum diterokai sepenuhnya. Menurut penduduk kampung,mereka pernah menemui ikan dugong yang jinak dan haiwan ini sering dilihat bermain-main di kawasan pantai. Namun kini ikan dugong yang tinggal kini terdiri daripada spesies liar. 

Kota Belud turut memiliki keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara dan menarik. Satu daripadanya ialah pusat pelancongan Air Terjun Sayap, kira-kira 32 kilometer dari pekan Kota Belud. Reka bentuk semula jadinya setinggi tiga tingkat (setinggi 15.24 meter) pasti mengagumkan setiap pengunjung yang pertama kali datang ke situ. 

Kawasan air terjun itu turut dikelilingi pelbagai spesies pokok yang berusia ratusan tahun. Keunikan alam semula jadi, udara nyaman dan bersih pastinya memberi ketenangan kepada setiap pengunjung yang mahu beristirehat terutama pada masa cuti. 

Selain itu, kampung Siasai Jaya yang terletak di daerah Kota Belud, menemukan satu seni kraf tangan Bajau yang cukup unik iaitu seni membuat parang . Bermula daripada proses membentuk bilah, hinggalah kepada seni ukir hulu parang yang cukup halus, semuanya diperlihatkan kepada rombongan media dari Kuala Lumpur. 

Nilai estetika pada motif dan ukiran yang ditunjukkan pada sarung dan hulu parang menunjukkan betapa suku kaum Bajau Kota Belud mempunyai nilai cara hidup yang penuh dengan kesenian dan estetika peradaban satu masa dahulu. 

Terdapat beberapa jenis parang Bajau mengikut kegunaan. Parang Barong misalnya, digunakan ketika perang, parang Gayang pula jenis yang digunakan oleh pejuang menentang penjajah terkenal, Datu Mat Salleh, manakala yang lain-lain adalah seperti parang Pidah, sabit Bajau, Beladau, Pais dan Lada-lada. Sebilah parang boleh dijual dengan harga setinggi RM500 bergantung kepada saiz 

Namun apa yang menarik perhatian penulis di sini ialah keunikan budaya yang masih menebal di kalangan penduduk tempatan. Ketika melewati sebuah kawasan perkuburan penulis terpandang kayu yang tercacak di kawasan perkuburan, menyerupai payung bertingkat-tingkat. Ada yang berwarna kuning, hijau dan putih dengan jumlah payung yang berlainan. Selain itu, satu lagi yang memeranjatkan ialah apabila melihat terdapat sebuah khemah di sebelah kubur yang masih lagi merah tanahnya. 

Akhirnya persoalan penulis ini terjawab setelah berjumpa dengan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun, Mabulmaddin Shaiddin. “Ia dipanggil sebagai “Ubur-Ubur” dalam bahasa Bajau yang akan dibawa ketika mengiringi jenazah ke tanah perkuburan dan akan diletakkan di penjuru kubur selepas upacara pengkebumian dilakukan,” katanya. 

Menurut Mabulmaddin, tanda payung sebenarnya memainkan peranan untuk membezakan si mati sama ada dia merupakan orang biasa atau golongan bangsawan (Datu atau Syarif). Jelasnya, kain berwarna putih digunakan untuk golongan biasa, hijau untuk Datu dan kuning untuk Syarif. Jumlah pada lingkaran payung pula adalah untuk membezakan peringkat usia si mati sama ada dia kanak-kanak, remaja ataupun golongan dewasa.

 “Bagi kedua-dua golongan ini, jumlah lingkaran payung bagi kanak-kanak lelaki adalah ganjil dengan jumlah (1&3) dan golongan remaja hingga dewasa lelaki ialah lima, tujuh, sembilan dan 11. “Bagi kanak-kanak perempuan pula lingkaran payung adalah genap dengan jumlah dua, empat, enam, manakala golongan remaja hingga dewasa wanita jumlahnya pula ialah lapan, 10 dan 12 lingkaran,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Penerangan Persatuan Sejarah Sabah, Abdul Naddin Shaiddin berkata, masyarakat Iranun dan Bajau sangat menghormati orang yang baru meninggal dunia. Justeru adat menunggu kubur oleh ahli keluarga si mati siang dan malam dilakukan sejak turun temurun. “Pada asalnya tujuan menjaga kubur ini juga untuk mengelak gangguan binatang dan pengamal ilmu hitam yang dipercayai datang menganggu dan mengorek kubur orang yang baru meninggal dunia. “Jadi ia telah dilakukan sejak dahulu lagi dan sehingga kini menjadi budaya dimana kalau seseorang itu mati dan tiada siapa menunggu ia seolah si mati tidak mempunyai saudara mara,” jelasnya. 

Sesunguhhnya keunikan dan keindahan di Kota Belud ini merupakan sesuatu yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi negeri Sabah itu sendiri sememangnya kaya dengan keindahan pulau-pulau dan alam semulajadinya yang begitu mengkagumkan pelancong bukan sahaja dari Malaysia malah dari seluruh dunia. 

Namun apa yang pasti keunikan budayanya yang membuatkan sesebuah kawasan itu dilihat berbeza dari tempat-tempat lain. Oleh itu Kota Belud merupakan tempat yang sesuai untuk anda menikmati keindahan alam semualajadi di samping meneroka keunikan seni dan budaya mereka yang masih tersemat rapi di kalangan penduduknya. 

Dipetik : Utusan Online Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman

By: MaWaR PuTiH
READ MORE - BERITA KOTA BELUD